Rahsianya ialah.....


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat anda semua, semoga Allah merahmati kita hari ini dan selamanya. 

Sepanjang tempoh saya membesar dari buaian hingga ke sekolah menengah saya tidak pernah mempunyai seorang rakan yang bukan Melayu. Mungkin kerana saya bersekolah di sekolah kebangsaan atau faktor kurangnya kaum bukan Melayu yang menetap di daerah ini, wallahua'lam. Tetapi hasil dari hobi membaca yang mendedahkan saya kepada info-info kepelbagaian kaum di Malaysia saya selalu menyimpan hasrat untuk mempunyai rakan-rakan bukan Melayu. Saya tertanya-tanya apakah yang ada dalam 'dunia' mereka, apakah permainan zaman kanak-kanak mereka, bagaimana mengucapkan "selamat pagi" dalam bahasa mereka, dan macam-macam lagi. 

Akhirnya doa saya dimakbulkan! Saya mendapat ramai rakan-rakan Cina dan India ketika menyambung pelajaran ke peringkat STPM di SMK Sultan Ismail, Terengganu pada tahun 2003. Walaupun sekadar pertemuan singkat selama dua tahun namun ianya sungguh bermakna. Saya belajar mengenali budaya dan prinsip hidup mereka. Sesuatu yang tidak akan saya lupakan.

Prinsip hidup. 

Ramai orang terutamanya masyarakat Melayu mengatakan kaum Cina adalah kaum yang pandai. Sebutlah bidang apa sekalipun pasti kaum yang satu ini akan mengunggulinya. Seolah-olah mereka dilahirkan dengan seribu satu kelebihan yang tidak memungkinkan mereka kalah. Adakah ini punca kejayaan mereka?

Sejarah negara kita mencatatkan pada zaman sebelum merdeka kaum Cina dibawa masuk untuk dijadikan pekerja-pekerja di lombong bijih timah manakala kaum India pula dibawa masuk untuk dijadikan penoreh getah. Mereka datang sehelai sepinggang. Namun kini lihatlah pencapaian mereka, hampir keseluruhan carta jutawan terkaya di Malaysia diduduki oleh mereka, apakah rahsianya segerombolan orang yang dahulunya datang sehelai sepinggang kini berjaya dan kaya-raya?

Rahsianya ialah USAHA YANG BERTERUSAN atau ISTIQAMAH!

Tiada tercatat dalam mana-mana buku sejarah bahawa kaum Cina merupakan kaum yang sentiasa berjaya, tiada tercatat dalam mana-mana manuskrip lama bahawa kaum Cina merupakan kaum yang kaya-raya, tetapi tercatat di dalam ingatan setiap manusia yang mengenali kaum Cina bahawa mereka rajin berusaha. 

Saya membaca buku China Safari hasil tulisan Serge Michel dan Michel Beuret, dan saya mencemburui kisah yang diriwayatkan di dalamnya. Kisah bagaimana orang-orang Cina dari negara China cuba menembusi tembok ekonomi yang dimiliki oleh negara-negara Afrika dan mewujudkan tapak mereka sendiri di sana. Bayangkan di sebuah negara yang kering-kontang dan tandus mereka masih mahu bertapak dan menjalankan perniagaan, dengan berbekalkan kudrat dan kemahiran yang tidak seberapa mereka berhijrah membawa isteri dan anak-anak untuk tinggal dan memulakan hidup baru.

Mereka tidak berjaya untuk hidup mewah tetapi sekurang-kurangnya mereka serba cukup jika dibandingkan dengan sebahagian besar rakyat negara itu yang melarat dan mati kebuluran di negara sendiri. Mereka menjalankan perniagaan-perniagaan kecil tetapi semakin berkembang dan berkembang sehingga membolehkan mereka mewujudkan komuniti Cina di situ yang lengkap dengan kemudahan tempat beribadat, sekolah Cina dan pusat perubatan. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit!


Kini saya sedang cuba menghadamkan kandungan buku tulisan Saudara Ann Wan Seng (MACMA) yang bertajuk Rahsia Bisnes Orang Cina. Beliau merupakan seorang Cina Muslim yang telah menulis tentang petua perniagaan orang Cina sejak tahun 1996 lagi, juga merupakan seorang kolumnis untuk majalah Dewan Ekonomi. Hasil tangan beliau ini telah diulang cetak sebanyak 12 kali dalam masa 5 tahun!

Memetik sebahagian tulisan beliau: "Apabila ketekunan dirangkumkan bersama-sama dengan keazaman dan diperkuatkan lagi dengan kesabaran nescaya ia akan menjadi aset yang cukup berharga bagi sesiapa yang mahu melibatkan dirinya dalam perniagaan. Kesabaran itu memang pahit tetapi buahnya amat manis sekali."

Dan itulah yang dibuktikan oleh Mohd. Fadly (29 tahun) yang memiliki Fadlieshop Production!

Petikan laporan di Utusan Malaysia:

Syarikat yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu oleh pemegang Diploma Teknologi Pembuatan Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) itu bermula dengan modal kira-kira RM50,000.

''Ia hasil wang yang dikumpul selama tiga tahun sewaktu bersendirian secara sambilan mendapatkan tempahan-tempahan. Sukar untuk mendapatkan pinjaman kerana banyak prosedur dan panjangnya waktu menunggu." (sini)

Sekali lagi, dengan izin, SIKIT-SIKIT LAMA-LAMA JADI BUKIT!

0 Komen (rahsia):

Post a Comment