My Hero!


Di saat dunia melihat Islam sebagai agama yang melahirkan pengganas terbit idea di minda seorang muslim yang bernama Dr. Naif Al-Mutawa, pengasas Teshkeel Media Group, untuk mengubah pandangan itu lalu lahirlah sebuah komik Islam yang pertama seumpamanya di dunia dan diberi judul "The 99". 

Komik ini mengisahkah 99 individu muslim dari serata dunia yang memperolehi kuasa ajaib selepas terdedah kepada sejenis batu permata dari zaman silam dan yang paling menakjubkan adalah Dr. Naif Al-Mutawa mengasaskan kuasa-kuasa ajaib berkenaan dari Asma-ul-Husna, 99 nama Allah!

Baru-baru ini beliau datang ke Malaysia kerana dijemput sempena 5th Halal Forum 2010 di KLCC dan dianugerahkan dengan anugerah "Outstanding Personal Achievement" bagi menghargai kejayaan dan kreativiti beliau dalam mencipta hero-hero dunia Islam dan memperkenalkannya di seluruh dunia.


Sekalung tahniah diucapkan kepada Imam Muda Muhammad Asyraf kerana telah berjaya dipilih sebagai Imam Muda Unggul 2010 sebentar tadi. Tahniah juga kepada Imam Muda Hizbur Rahman dan Imam-Imam Muda yang lain kerana telah berjaya mengharungi keseluruhan program dengan jayanya. Semoga kalian kelak dilihat dan dijadikan "hero" oleh anak-anak muda dan umat Islam secara keseluruhannya.....amin!

Sekadar ingin berkongsi kisah yang disampaikan dalam tazkirah Imam Muda Hizbur Rahman sebentar tadi, mengenai seorang hero yang saya kagumi peribadinya sejak dari sekolah menengah lagi iaitu Saidina Umar Al-Khattab. 

Saidina Umar Al-Khattab yang saya kagumi adalah pada dua sifat yang Allah kurniakan pada dirinya; keberanian dan kegagahan. Bagi saya beliau adalah seorang tokoh yang sungguh "macho" dan "stylo". Bayangkanlah bagaimana pada saat beliau memeluk Islam dan ingin berhijrah ke Madinah al-Munawwarah, beliau telah pergi ke kawasan Kaabah yang ketika itu menjadi pusat tumpuan di kota Makkah seraya melaungkan keislamannya lalu mencabar sesiapa yang tidak bersetuju untuk menghalang perjalanannya ke Madinah. Dengan pedang terhunus beliau menjerit, "Wahai orang-orang kafir Quraisy! Aku ingin berhijrah ke Madinah. Sesiapa yang ingin melihat isterinya menjadi janda dan anaknya menjadi yatim maka cubalah halang penghijrahanku ini!" Sungguh hebat keyakinan diri beliau sehingga berseorangan pun sanggup mencabar kafir Quraisy di tengah kota Makkah.

Dan dalam tazkirah yang disampaikan oleh Imam Muda Hizbur Rahman tadi beliau menceritakan tentang detik-detik pembunuhan Saidina Umar Al-Khattab. Diriwayatkan bahawa ketika itu Saidina Umar sedang mengimami solat subuh berjemaah bersama para sahabat, kemudian tanpa diduga muncul seorang Majusi bernama Abu Lu'luah lalu menikam Saidina Umar sebanyak 6 kali sehingga Saidina Umar pengsan dalam keadaan terburai perutnya dan membuak-buak darah mengalir. Apabila tersedar dari pengsan beliau terus bertanya, "Adakah kalian sudah menunaikan solat (yang terhenti sebentar tadi)?" lalu dijawab oleh para muslimin bahawa Abdul Rahman bin 'Auf telah menjadi imam mereka.

Saidina Umar al-Khattab memanggil anaknya dan meminta diberikan air. Anaknya menjawab, "Wahai ayahku, ketika kamu pengsan tadi telah aku beri minum kamu susu tetapi susu itu mengalir keluar dari perutmu (yang terburai), maka apakah kamu masih ingin terus minum wahai ayahku?" Saidina Umar berkata lagi, "Aku mahukan air bukan untuk minum tetapi untuk berwudhu kerana sesungguhnya solat subuhku belum selesai." 

Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya: "Suruhlah anakmu mengerjakan solat ketika usianya mencecah 7 tahun dan pukullah jika dia tidak mengerjakan solat pada usia 10 tahun."

Wallahua'lam.

"ilmu alam"


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sewaktu menaip entri ini badanku masih panas-panas akibat penangan si 'raja buah' iaitu DURIAN. Alhamdulillah sekarang kebun ayahku sudah mengeluarkan hasil durian yang ditunggu-tunggu, walaupun hanya spesis kampung tapi isinya boleh tahan lemak dan berkrim, sampai menjilat jari kami makan...hehehe! Dalam keasyikan mengutip durian itu juga nyawaku beberapa kali nyaris terancam kerana insiden buah gugur tanpa amaran, sebelah-sebelah aku jer diorang nak landing nasib baik tak kena kepala. Pengajarannya: pakailah helmet dan ingatlah insan tersayang =)

 Mengambil kesempatan umur yang masih berbaki aku nak kongsikan sesuatu dalam entri kali ini yang mana ianya ada kaitan dengan tajuk "ilmu alam". Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan seperti yang kita sedia maklum merupakan ciptaan Allah yang maha agung dan tidak mustahil ada pada ciptaan ini ilmu-ilmu atau petunjuk yang boleh kita ambil iktibar daripadanya. Buah durian sebagai contoh, secara semulajadinya gugur apabila ia sudah masak atau sedia untuk dimakan. Buah rambutan pula boleh dipetik atau dikait apabila warna hijaunya bertukar kepada kuning-kemerahan menandakan isinya sudah matang dan manis untuk dimakan. Pengajarannya: setiap yang berlaku pada luaran adalah petunjuk kepada perihal dalaman.


Dr. George W. Crane menulis dalam bukunya yang berjudul Applied Psychology, "setiap perbuatan atau pergerakan adalah bibit-bibit perasaan atau dalaman seseorang". Beliau turut berkata, "bagi berfikir dengan yakin, kita mesti bertindak dengan yakin". Menurut pakar psikologi pula, dengan mengubah gerakan fizikal kita, maka sikap kita juga akan turut berubah. Contohnya, apabila kita cuba tersenyum, minda kita akan lebih tenang dan terbuka berbanding dengan bermuka serius. Apabila kita duduk sambil menegakkan badan pula keyakinan diri akan bertambah dan tubuh terasa segar jika dibandingkan dengan duduk membongkok. Orang lain pula akan lebih mudah terpesona dan kagum melihat kita walaupun sebenarnya kita belum membuka mulut memulakan perbualan, betul tak? Inilah helah psikologi.


Ya, kita mungkin bukan orang berjawatan atau berpendidikan tinggi namun itu tidak bermakna kita tidak boleh kelihatan seperti itu. Hakikatnya sesiapa saja boleh kelihatan sesegak menteri dan sepintar profesor dengan syarat bertindaklah mengikut personaliti yang ingin ditonjolkan. Tindakan yang meyakinkan akan menghasilkan pemikiran yang berkeyakinan! Berikut adalah lima latihan bagi membina keyakinan yang sebahagiannya sering saya tekankan kepada para pelajar dan diri sendiri:

1) DUDUK DI HADAPAN - Biasanya dalam sesuatu majlis kerusi belakang adalah yang paling cepat dipenuhi. Alasan mereka adalah tidak mahu terlalu menonjol tetapi sebenarnya mereka malu dan rendah keyakinan diri. Jadi bertindaklah sebaliknya dengan duduk di barisan paling hadapan. Kata anak jantan?
2) PANDANG MATA - Peribadi seseorang itu dapat dilihat melalui matanya. Jika asyik tunduk atau menoleh ke sana-sini ketika sedang berbicara itu tandanya ada sesuatu yang dirahsiakan atau ditakutkan. Jadi manfaatkan mata untuk menampilkan keyakinan diri ketika berbicara dengan mewujudkan eye contact.
3) BERJALAN LAJU - Ilmu ini saya perolehi ketika menuntut di SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Ustazah Salma yang suka berjalan laju mengajar saya tentang ini. Tunjukkan seolah-olah "saya mahu ke tempat yang penting, berjumpa individu penting dan melakukan perkara penting".
4) BERCAKAP - Pengetahuan atau kebijaksanaan seseorang itu hanya terbukti apabila dia berjaya meluahkan apa yang tersimpan di fikirannya. Peguam tidak menang perbicaraan hanya dengan berfikir, begitu juga kita tidak akan dianggap berkeyakinan jika hanya mendiamkan diri. Speak your mind!
5) SENYUMLAH - Senyum penawar duka. Walau betapa teruknya keyakinan diri anda sekurang-kurangnya cubalah untuk melemparkan senyuman. Berkuasanya senyuman ini dapat dilihat apabila anda melakukan kesilapan dan kemudian tersenyum maka orang akan menganggap anda tabah dan cool lalu mereka mula mengagumi anda. Ajaib kan? 

Wassalamualaikum warahmatullah...

Pegang-memegang jadikan amalan.....wajib!


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

     Sekarang umat Islam di seluruh dunia sedang sama-sama menikmati redup kasih-sayang Allah yang disampaikan melalui kemuliaan Syaaban-Nya. Sungguh, selepas Rejab, Syaaban adalah bulan yang dilipat-gandakan nikmat beribadat di dalamnya. Bagi yang sudah memulakan amalan berpuasa sunat sejak bulan Rejab, kini mereka sudah memasuki  "bulan puasa" yang kedua sebelum bertemu dengan "bulan rukun Islam ke-3" iaitu "bulan puasa" bulan Ramadhan, insyaAllah.

     Siang tadi aku telah berjaya menemui tukang jahit yang sudi menjahit baju rayaku untuk tahun ini. Warna tema tahun ini? Biarlah rahsia, hehehe. Bila kuhitung-hitung hampir sepuluh kedai yang dikunjungi telah menutup ruang tempahan, nasib aku agak baik kerana berjumpa dengan tukang jahit yang baik hati. Itupun mungkin minggu terakhir Ramadhan baru persalinan aku siap. Redha dan syukur dengan apa yang dah ditakdirkan untukku. =) 

      Setiap kali tiba musim perayaan aku selalu membeli-belah di saat-saat akhir, fikirku beli last minute mesti dapat diskaun lebih kerana stok yang penghabisan tetapi sebenarnya mahal macam orang lain beli juga!! Dan setiap kali membeli-belah di musim perayaan mesti akan selalu kedengaran pengumuman sebegini: "perhatian kepada sesiapa yang kehilangan anak, sila datang ke kaunter penerangan sekarang." Kemudian boleh dilihat ibubapa berpusing mencari anak masing-masing, bilang kepala satu-persatu, jerit-menjerit nama anak yang bersembunyi di celah-celah almari pakaian (main sorok-sorok). Bila dah cukup anak-anak, ibubapa sambung shopping, anak-anak sambung bermain.


     Wahai ibu dan ayah, anak-anak adalah anugerah yang tidak ternilai. Hilang satu tiada gantinya kerana setiap mereka berbeza dan istimewa. Riang gelak-tawa dan rancak senda-gurau mereka biarlah di sisi sentiasa. 

     Lupakah pada kehilangan Nurin Jazlin? Mahukah ditimpa musibah ketiadaan anak yang ditatang bagai minyak yang penuh selama 9 bulan 10 hari dan tempoh membesarkannya bertahun-tahun akibat kelalaian sesaat? Jika tidak mahu maka pegang dan genggamlah tangan mereka sentiasa! Tunjukkan pada dunia bahawa anak-anak itu anda yang punya, dan biarlah di dalam hati mereka berkata kepada seluruh umat manusia: "hai, inilah ibu dan bapa saya".


     Ya, anak-anak ini comel dan manja. Tetapi comel dan manjakah mereka apabila disambut tangan yang bukan milik kita, ibubapa mereka? Fikirkanlah.....

Pemimpin pelajar pertama di UNISEL BeeJay

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk korang semua. Entri ini ditulis bagi memenuhi tuntutan "walk the talk", dengan izin.

"............... ada sesiapa nak volunteer?" tanya fasilitator di hadapan. Semua pelajar diam, ada yang toleh kiri-kanan, ada yang tunduk kepala merenung lantai dewan, ada yang senyum malu-malu, tapi akhirnya tetap takde seorang pun yang angkat tangan.

"aii.....takkan tak berani kot?" tambah fasilitator tu lagi. Aku duduk agak jauh di belakang, tengah buat kira-kira nak angkat tangan atau tidak. Niat hati tak ikhlas sangat  pun nak volunteer, sekadar menyahut cabaran je. 

Tiba-tiba ada seorang mamat yang duduk kat depan angkat tangan lalu bertepuk-soraklah semua pelajar baru di dalam dewan sambil mamat berkenaan melangkah naik ke pentas. Orangnya tak tinggi tak rendah, tak gemuk tak kurus, sedang molek bak kata orang Terengganu.

Dia memperkenalkan diri, "nama saya Soni Gonzales." Riuh satu dewan, terkejut dan hairan barangkali mendengar nama yang agak asing camtu. Aku pun terkejut, muka macam melayu tapi nama macam orang Mexico. Aku teringat dialog kartun yang selalu aku tengok kat tv, "yeeba yeeba, andre andre!"

Maka dengan pelantikan itu, secara rasminya mamat Soni Gonzales ini menjadi pemimpin atau penghulu kepada pelajar-pelajar pengambilan pertama di UNISEL kampus Bestari Jaya. Sejarah ni beb, sepatutnya dipaparkan di arkib atau perpustakaan UNISEL. Letak gambar dalam frame pastu siap ada biodata dan pencapaian lagi, memang terbaik!

Setelah bermula semester barulah aku tahu rupa-rupanya mamat ni memang 100% Melayu cuma namanya diilhamkan daripada satu peristiwa: Ayah dia pergi misi di luar negara, kemudian ada satu ketika pasukan ayahnya terperangkap atau dikepung oleh pihak musuh dan muncullah seorang penyelamat dari pasukan lain to the rescue. Jadi, bila mamat ni lahir dia dinamakan Soni Gonzales sempena gabungan nama misi dan penyelamat berkenaan. Kagum betul aku dengan fakta ini, dan aku harap ianya benar, kerana aku dah tulis mengenainya dalam blog aku ni.

Untuk menambahkan lagi kekaguman aku, rupa-rupanya dia pun ambil TESL juga, kebetulan. Maka pernahlah kami berborak-borak, bertukar-tukar idea dan berkongsi pengetahuan. Sejujurnya aku bukan type yang mudah mesra dengan orang yang baru dikenali tetapi si Soni Gonzales ni memang mesra alam dan bersikap terbuka. Dia cakap apa yang dia rasa orang patut dengar, bukan apa yang orang nak dengar, dan aku memang bertuah dapat kenal dia coz banyak dapat belajar ilmu-ilmu baru.

Nobody is perfect, begitu juga dengan mamat ni pada pandangan aku. Kadang-kadang dia agak kurang kemas bila berpakaian, jalan pula gedebe semacam je, tapi hati baik. Hehehe jangan marah ye =)

Soni Gonzales kini seorang guru di sebuah sekolah yang namanya dirahsiakan. Aku doakan kau jadi guru yang cemerlang, gemilang dan terbilang...amin!

Aku mengajar tuisyen, tapi pelajar aku tak mengembek.