Pegang-memegang jadikan amalan.....wajib!


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

     Sekarang umat Islam di seluruh dunia sedang sama-sama menikmati redup kasih-sayang Allah yang disampaikan melalui kemuliaan Syaaban-Nya. Sungguh, selepas Rejab, Syaaban adalah bulan yang dilipat-gandakan nikmat beribadat di dalamnya. Bagi yang sudah memulakan amalan berpuasa sunat sejak bulan Rejab, kini mereka sudah memasuki  "bulan puasa" yang kedua sebelum bertemu dengan "bulan rukun Islam ke-3" iaitu "bulan puasa" bulan Ramadhan, insyaAllah.

     Siang tadi aku telah berjaya menemui tukang jahit yang sudi menjahit baju rayaku untuk tahun ini. Warna tema tahun ini? Biarlah rahsia, hehehe. Bila kuhitung-hitung hampir sepuluh kedai yang dikunjungi telah menutup ruang tempahan, nasib aku agak baik kerana berjumpa dengan tukang jahit yang baik hati. Itupun mungkin minggu terakhir Ramadhan baru persalinan aku siap. Redha dan syukur dengan apa yang dah ditakdirkan untukku. =) 

      Setiap kali tiba musim perayaan aku selalu membeli-belah di saat-saat akhir, fikirku beli last minute mesti dapat diskaun lebih kerana stok yang penghabisan tetapi sebenarnya mahal macam orang lain beli juga!! Dan setiap kali membeli-belah di musim perayaan mesti akan selalu kedengaran pengumuman sebegini: "perhatian kepada sesiapa yang kehilangan anak, sila datang ke kaunter penerangan sekarang." Kemudian boleh dilihat ibubapa berpusing mencari anak masing-masing, bilang kepala satu-persatu, jerit-menjerit nama anak yang bersembunyi di celah-celah almari pakaian (main sorok-sorok). Bila dah cukup anak-anak, ibubapa sambung shopping, anak-anak sambung bermain.


     Wahai ibu dan ayah, anak-anak adalah anugerah yang tidak ternilai. Hilang satu tiada gantinya kerana setiap mereka berbeza dan istimewa. Riang gelak-tawa dan rancak senda-gurau mereka biarlah di sisi sentiasa. 

     Lupakah pada kehilangan Nurin Jazlin? Mahukah ditimpa musibah ketiadaan anak yang ditatang bagai minyak yang penuh selama 9 bulan 10 hari dan tempoh membesarkannya bertahun-tahun akibat kelalaian sesaat? Jika tidak mahu maka pegang dan genggamlah tangan mereka sentiasa! Tunjukkan pada dunia bahawa anak-anak itu anda yang punya, dan biarlah di dalam hati mereka berkata kepada seluruh umat manusia: "hai, inilah ibu dan bapa saya".


     Ya, anak-anak ini comel dan manja. Tetapi comel dan manjakah mereka apabila disambut tangan yang bukan milik kita, ibubapa mereka? Fikirkanlah.....

0 Komen (rahsia):

Post a Comment