My Hero!


Di saat dunia melihat Islam sebagai agama yang melahirkan pengganas terbit idea di minda seorang muslim yang bernama Dr. Naif Al-Mutawa, pengasas Teshkeel Media Group, untuk mengubah pandangan itu lalu lahirlah sebuah komik Islam yang pertama seumpamanya di dunia dan diberi judul "The 99". 

Komik ini mengisahkah 99 individu muslim dari serata dunia yang memperolehi kuasa ajaib selepas terdedah kepada sejenis batu permata dari zaman silam dan yang paling menakjubkan adalah Dr. Naif Al-Mutawa mengasaskan kuasa-kuasa ajaib berkenaan dari Asma-ul-Husna, 99 nama Allah!

Baru-baru ini beliau datang ke Malaysia kerana dijemput sempena 5th Halal Forum 2010 di KLCC dan dianugerahkan dengan anugerah "Outstanding Personal Achievement" bagi menghargai kejayaan dan kreativiti beliau dalam mencipta hero-hero dunia Islam dan memperkenalkannya di seluruh dunia.


Sekalung tahniah diucapkan kepada Imam Muda Muhammad Asyraf kerana telah berjaya dipilih sebagai Imam Muda Unggul 2010 sebentar tadi. Tahniah juga kepada Imam Muda Hizbur Rahman dan Imam-Imam Muda yang lain kerana telah berjaya mengharungi keseluruhan program dengan jayanya. Semoga kalian kelak dilihat dan dijadikan "hero" oleh anak-anak muda dan umat Islam secara keseluruhannya.....amin!

Sekadar ingin berkongsi kisah yang disampaikan dalam tazkirah Imam Muda Hizbur Rahman sebentar tadi, mengenai seorang hero yang saya kagumi peribadinya sejak dari sekolah menengah lagi iaitu Saidina Umar Al-Khattab. 

Saidina Umar Al-Khattab yang saya kagumi adalah pada dua sifat yang Allah kurniakan pada dirinya; keberanian dan kegagahan. Bagi saya beliau adalah seorang tokoh yang sungguh "macho" dan "stylo". Bayangkanlah bagaimana pada saat beliau memeluk Islam dan ingin berhijrah ke Madinah al-Munawwarah, beliau telah pergi ke kawasan Kaabah yang ketika itu menjadi pusat tumpuan di kota Makkah seraya melaungkan keislamannya lalu mencabar sesiapa yang tidak bersetuju untuk menghalang perjalanannya ke Madinah. Dengan pedang terhunus beliau menjerit, "Wahai orang-orang kafir Quraisy! Aku ingin berhijrah ke Madinah. Sesiapa yang ingin melihat isterinya menjadi janda dan anaknya menjadi yatim maka cubalah halang penghijrahanku ini!" Sungguh hebat keyakinan diri beliau sehingga berseorangan pun sanggup mencabar kafir Quraisy di tengah kota Makkah.

Dan dalam tazkirah yang disampaikan oleh Imam Muda Hizbur Rahman tadi beliau menceritakan tentang detik-detik pembunuhan Saidina Umar Al-Khattab. Diriwayatkan bahawa ketika itu Saidina Umar sedang mengimami solat subuh berjemaah bersama para sahabat, kemudian tanpa diduga muncul seorang Majusi bernama Abu Lu'luah lalu menikam Saidina Umar sebanyak 6 kali sehingga Saidina Umar pengsan dalam keadaan terburai perutnya dan membuak-buak darah mengalir. Apabila tersedar dari pengsan beliau terus bertanya, "Adakah kalian sudah menunaikan solat (yang terhenti sebentar tadi)?" lalu dijawab oleh para muslimin bahawa Abdul Rahman bin 'Auf telah menjadi imam mereka.

Saidina Umar al-Khattab memanggil anaknya dan meminta diberikan air. Anaknya menjawab, "Wahai ayahku, ketika kamu pengsan tadi telah aku beri minum kamu susu tetapi susu itu mengalir keluar dari perutmu (yang terburai), maka apakah kamu masih ingin terus minum wahai ayahku?" Saidina Umar berkata lagi, "Aku mahukan air bukan untuk minum tetapi untuk berwudhu kerana sesungguhnya solat subuhku belum selesai." 

Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya: "Suruhlah anakmu mengerjakan solat ketika usianya mencecah 7 tahun dan pukullah jika dia tidak mengerjakan solat pada usia 10 tahun."

Wallahua'lam.

0 Komen (rahsia):

Post a Comment