"ilmu alam"


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sewaktu menaip entri ini badanku masih panas-panas akibat penangan si 'raja buah' iaitu DURIAN. Alhamdulillah sekarang kebun ayahku sudah mengeluarkan hasil durian yang ditunggu-tunggu, walaupun hanya spesis kampung tapi isinya boleh tahan lemak dan berkrim, sampai menjilat jari kami makan...hehehe! Dalam keasyikan mengutip durian itu juga nyawaku beberapa kali nyaris terancam kerana insiden buah gugur tanpa amaran, sebelah-sebelah aku jer diorang nak landing nasib baik tak kena kepala. Pengajarannya: pakailah helmet dan ingatlah insan tersayang =)

 Mengambil kesempatan umur yang masih berbaki aku nak kongsikan sesuatu dalam entri kali ini yang mana ianya ada kaitan dengan tajuk "ilmu alam". Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan seperti yang kita sedia maklum merupakan ciptaan Allah yang maha agung dan tidak mustahil ada pada ciptaan ini ilmu-ilmu atau petunjuk yang boleh kita ambil iktibar daripadanya. Buah durian sebagai contoh, secara semulajadinya gugur apabila ia sudah masak atau sedia untuk dimakan. Buah rambutan pula boleh dipetik atau dikait apabila warna hijaunya bertukar kepada kuning-kemerahan menandakan isinya sudah matang dan manis untuk dimakan. Pengajarannya: setiap yang berlaku pada luaran adalah petunjuk kepada perihal dalaman.


Dr. George W. Crane menulis dalam bukunya yang berjudul Applied Psychology, "setiap perbuatan atau pergerakan adalah bibit-bibit perasaan atau dalaman seseorang". Beliau turut berkata, "bagi berfikir dengan yakin, kita mesti bertindak dengan yakin". Menurut pakar psikologi pula, dengan mengubah gerakan fizikal kita, maka sikap kita juga akan turut berubah. Contohnya, apabila kita cuba tersenyum, minda kita akan lebih tenang dan terbuka berbanding dengan bermuka serius. Apabila kita duduk sambil menegakkan badan pula keyakinan diri akan bertambah dan tubuh terasa segar jika dibandingkan dengan duduk membongkok. Orang lain pula akan lebih mudah terpesona dan kagum melihat kita walaupun sebenarnya kita belum membuka mulut memulakan perbualan, betul tak? Inilah helah psikologi.


Ya, kita mungkin bukan orang berjawatan atau berpendidikan tinggi namun itu tidak bermakna kita tidak boleh kelihatan seperti itu. Hakikatnya sesiapa saja boleh kelihatan sesegak menteri dan sepintar profesor dengan syarat bertindaklah mengikut personaliti yang ingin ditonjolkan. Tindakan yang meyakinkan akan menghasilkan pemikiran yang berkeyakinan! Berikut adalah lima latihan bagi membina keyakinan yang sebahagiannya sering saya tekankan kepada para pelajar dan diri sendiri:

1) DUDUK DI HADAPAN - Biasanya dalam sesuatu majlis kerusi belakang adalah yang paling cepat dipenuhi. Alasan mereka adalah tidak mahu terlalu menonjol tetapi sebenarnya mereka malu dan rendah keyakinan diri. Jadi bertindaklah sebaliknya dengan duduk di barisan paling hadapan. Kata anak jantan?
2) PANDANG MATA - Peribadi seseorang itu dapat dilihat melalui matanya. Jika asyik tunduk atau menoleh ke sana-sini ketika sedang berbicara itu tandanya ada sesuatu yang dirahsiakan atau ditakutkan. Jadi manfaatkan mata untuk menampilkan keyakinan diri ketika berbicara dengan mewujudkan eye contact.
3) BERJALAN LAJU - Ilmu ini saya perolehi ketika menuntut di SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Ustazah Salma yang suka berjalan laju mengajar saya tentang ini. Tunjukkan seolah-olah "saya mahu ke tempat yang penting, berjumpa individu penting dan melakukan perkara penting".
4) BERCAKAP - Pengetahuan atau kebijaksanaan seseorang itu hanya terbukti apabila dia berjaya meluahkan apa yang tersimpan di fikirannya. Peguam tidak menang perbicaraan hanya dengan berfikir, begitu juga kita tidak akan dianggap berkeyakinan jika hanya mendiamkan diri. Speak your mind!
5) SENYUMLAH - Senyum penawar duka. Walau betapa teruknya keyakinan diri anda sekurang-kurangnya cubalah untuk melemparkan senyuman. Berkuasanya senyuman ini dapat dilihat apabila anda melakukan kesilapan dan kemudian tersenyum maka orang akan menganggap anda tabah dan cool lalu mereka mula mengagumi anda. Ajaib kan? 

Wassalamualaikum warahmatullah...

0 Komen (rahsia):

Post a Comment