Hak Cinta 200%

Sayang, tancapkan dalam hati
walau tak kini
esok insyaAllah terjadi
kita akan bulan madu lagi
berkali-kali
lebih indah dari yang telah kita lalui
apalagi di syurga nanti
walau tak kini
esok insyaAllah terjadi
selama cinta kita tak pernah mati
selama iman masih terpatri dalam diri

Saya pernah ditanya oleh seorang teman, "Salahkah jika mencintai seseorang?" 
Saya menjawab, "Seseorang itu ada hak untuk meminati atau mencintai sesiapa sahaja yang dia mahu." 
Teman itu bertanya lagi, "Bagaimana kalau seseorang itu tidak mencintainya kembali?" 
Saya senyum, tahu kenapa perbualan ini terjadi, "Jika seseorang itu mempunyai hak untuk mencintai maka orang yang dicintainya itu juga mempunyai hak samada untuk mencintainya kembali atau tidak."

Cinta merupakan perkara yang abstrak, sukar dinilai. Cinta adalah apabila marah, cemburu, benci dan dendam tidak mampu menghalang rasa peduli kita pada seseorang. Tampak manis namun ada pahitnya kerana memberi seluruh cinta bukanlah jaminan untuk kita akan menerima cinta. Walau segala keringat dihabiskan, selautan kasih dicurahkan serta segunung intan ditaburkan belum tentu berlaku jika bukan takdir tuhan. 

Setiap daripada kita mempunyai 100% hak untuk mencintai, dan jika kita dicintai kembali, maka kita menerima bonus 100% hak untuk dicintai. HAK CINTA 200%!

p/s: Puisi di atas dipetik dari novel Ayat-Ayat Cinta, bertajuk "Negeri Idaman" hasil karya penyair Fatin Hamama.

My Hero!


Di saat dunia melihat Islam sebagai agama yang melahirkan pengganas terbit idea di minda seorang muslim yang bernama Dr. Naif Al-Mutawa, pengasas Teshkeel Media Group, untuk mengubah pandangan itu lalu lahirlah sebuah komik Islam yang pertama seumpamanya di dunia dan diberi judul "The 99". 

Komik ini mengisahkah 99 individu muslim dari serata dunia yang memperolehi kuasa ajaib selepas terdedah kepada sejenis batu permata dari zaman silam dan yang paling menakjubkan adalah Dr. Naif Al-Mutawa mengasaskan kuasa-kuasa ajaib berkenaan dari Asma-ul-Husna, 99 nama Allah!

Baru-baru ini beliau datang ke Malaysia kerana dijemput sempena 5th Halal Forum 2010 di KLCC dan dianugerahkan dengan anugerah "Outstanding Personal Achievement" bagi menghargai kejayaan dan kreativiti beliau dalam mencipta hero-hero dunia Islam dan memperkenalkannya di seluruh dunia.


Sekalung tahniah diucapkan kepada Imam Muda Muhammad Asyraf kerana telah berjaya dipilih sebagai Imam Muda Unggul 2010 sebentar tadi. Tahniah juga kepada Imam Muda Hizbur Rahman dan Imam-Imam Muda yang lain kerana telah berjaya mengharungi keseluruhan program dengan jayanya. Semoga kalian kelak dilihat dan dijadikan "hero" oleh anak-anak muda dan umat Islam secara keseluruhannya.....amin!

Sekadar ingin berkongsi kisah yang disampaikan dalam tazkirah Imam Muda Hizbur Rahman sebentar tadi, mengenai seorang hero yang saya kagumi peribadinya sejak dari sekolah menengah lagi iaitu Saidina Umar Al-Khattab. 

Saidina Umar Al-Khattab yang saya kagumi adalah pada dua sifat yang Allah kurniakan pada dirinya; keberanian dan kegagahan. Bagi saya beliau adalah seorang tokoh yang sungguh "macho" dan "stylo". Bayangkanlah bagaimana pada saat beliau memeluk Islam dan ingin berhijrah ke Madinah al-Munawwarah, beliau telah pergi ke kawasan Kaabah yang ketika itu menjadi pusat tumpuan di kota Makkah seraya melaungkan keislamannya lalu mencabar sesiapa yang tidak bersetuju untuk menghalang perjalanannya ke Madinah. Dengan pedang terhunus beliau menjerit, "Wahai orang-orang kafir Quraisy! Aku ingin berhijrah ke Madinah. Sesiapa yang ingin melihat isterinya menjadi janda dan anaknya menjadi yatim maka cubalah halang penghijrahanku ini!" Sungguh hebat keyakinan diri beliau sehingga berseorangan pun sanggup mencabar kafir Quraisy di tengah kota Makkah.

Dan dalam tazkirah yang disampaikan oleh Imam Muda Hizbur Rahman tadi beliau menceritakan tentang detik-detik pembunuhan Saidina Umar Al-Khattab. Diriwayatkan bahawa ketika itu Saidina Umar sedang mengimami solat subuh berjemaah bersama para sahabat, kemudian tanpa diduga muncul seorang Majusi bernama Abu Lu'luah lalu menikam Saidina Umar sebanyak 6 kali sehingga Saidina Umar pengsan dalam keadaan terburai perutnya dan membuak-buak darah mengalir. Apabila tersedar dari pengsan beliau terus bertanya, "Adakah kalian sudah menunaikan solat (yang terhenti sebentar tadi)?" lalu dijawab oleh para muslimin bahawa Abdul Rahman bin 'Auf telah menjadi imam mereka.

Saidina Umar al-Khattab memanggil anaknya dan meminta diberikan air. Anaknya menjawab, "Wahai ayahku, ketika kamu pengsan tadi telah aku beri minum kamu susu tetapi susu itu mengalir keluar dari perutmu (yang terburai), maka apakah kamu masih ingin terus minum wahai ayahku?" Saidina Umar berkata lagi, "Aku mahukan air bukan untuk minum tetapi untuk berwudhu kerana sesungguhnya solat subuhku belum selesai." 

Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya: "Suruhlah anakmu mengerjakan solat ketika usianya mencecah 7 tahun dan pukullah jika dia tidak mengerjakan solat pada usia 10 tahun."

Wallahua'lam.

"ilmu alam"


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sewaktu menaip entri ini badanku masih panas-panas akibat penangan si 'raja buah' iaitu DURIAN. Alhamdulillah sekarang kebun ayahku sudah mengeluarkan hasil durian yang ditunggu-tunggu, walaupun hanya spesis kampung tapi isinya boleh tahan lemak dan berkrim, sampai menjilat jari kami makan...hehehe! Dalam keasyikan mengutip durian itu juga nyawaku beberapa kali nyaris terancam kerana insiden buah gugur tanpa amaran, sebelah-sebelah aku jer diorang nak landing nasib baik tak kena kepala. Pengajarannya: pakailah helmet dan ingatlah insan tersayang =)

 Mengambil kesempatan umur yang masih berbaki aku nak kongsikan sesuatu dalam entri kali ini yang mana ianya ada kaitan dengan tajuk "ilmu alam". Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan seperti yang kita sedia maklum merupakan ciptaan Allah yang maha agung dan tidak mustahil ada pada ciptaan ini ilmu-ilmu atau petunjuk yang boleh kita ambil iktibar daripadanya. Buah durian sebagai contoh, secara semulajadinya gugur apabila ia sudah masak atau sedia untuk dimakan. Buah rambutan pula boleh dipetik atau dikait apabila warna hijaunya bertukar kepada kuning-kemerahan menandakan isinya sudah matang dan manis untuk dimakan. Pengajarannya: setiap yang berlaku pada luaran adalah petunjuk kepada perihal dalaman.


Dr. George W. Crane menulis dalam bukunya yang berjudul Applied Psychology, "setiap perbuatan atau pergerakan adalah bibit-bibit perasaan atau dalaman seseorang". Beliau turut berkata, "bagi berfikir dengan yakin, kita mesti bertindak dengan yakin". Menurut pakar psikologi pula, dengan mengubah gerakan fizikal kita, maka sikap kita juga akan turut berubah. Contohnya, apabila kita cuba tersenyum, minda kita akan lebih tenang dan terbuka berbanding dengan bermuka serius. Apabila kita duduk sambil menegakkan badan pula keyakinan diri akan bertambah dan tubuh terasa segar jika dibandingkan dengan duduk membongkok. Orang lain pula akan lebih mudah terpesona dan kagum melihat kita walaupun sebenarnya kita belum membuka mulut memulakan perbualan, betul tak? Inilah helah psikologi.


Ya, kita mungkin bukan orang berjawatan atau berpendidikan tinggi namun itu tidak bermakna kita tidak boleh kelihatan seperti itu. Hakikatnya sesiapa saja boleh kelihatan sesegak menteri dan sepintar profesor dengan syarat bertindaklah mengikut personaliti yang ingin ditonjolkan. Tindakan yang meyakinkan akan menghasilkan pemikiran yang berkeyakinan! Berikut adalah lima latihan bagi membina keyakinan yang sebahagiannya sering saya tekankan kepada para pelajar dan diri sendiri:

1) DUDUK DI HADAPAN - Biasanya dalam sesuatu majlis kerusi belakang adalah yang paling cepat dipenuhi. Alasan mereka adalah tidak mahu terlalu menonjol tetapi sebenarnya mereka malu dan rendah keyakinan diri. Jadi bertindaklah sebaliknya dengan duduk di barisan paling hadapan. Kata anak jantan?
2) PANDANG MATA - Peribadi seseorang itu dapat dilihat melalui matanya. Jika asyik tunduk atau menoleh ke sana-sini ketika sedang berbicara itu tandanya ada sesuatu yang dirahsiakan atau ditakutkan. Jadi manfaatkan mata untuk menampilkan keyakinan diri ketika berbicara dengan mewujudkan eye contact.
3) BERJALAN LAJU - Ilmu ini saya perolehi ketika menuntut di SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Ustazah Salma yang suka berjalan laju mengajar saya tentang ini. Tunjukkan seolah-olah "saya mahu ke tempat yang penting, berjumpa individu penting dan melakukan perkara penting".
4) BERCAKAP - Pengetahuan atau kebijaksanaan seseorang itu hanya terbukti apabila dia berjaya meluahkan apa yang tersimpan di fikirannya. Peguam tidak menang perbicaraan hanya dengan berfikir, begitu juga kita tidak akan dianggap berkeyakinan jika hanya mendiamkan diri. Speak your mind!
5) SENYUMLAH - Senyum penawar duka. Walau betapa teruknya keyakinan diri anda sekurang-kurangnya cubalah untuk melemparkan senyuman. Berkuasanya senyuman ini dapat dilihat apabila anda melakukan kesilapan dan kemudian tersenyum maka orang akan menganggap anda tabah dan cool lalu mereka mula mengagumi anda. Ajaib kan? 

Wassalamualaikum warahmatullah...

Pegang-memegang jadikan amalan.....wajib!


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

     Sekarang umat Islam di seluruh dunia sedang sama-sama menikmati redup kasih-sayang Allah yang disampaikan melalui kemuliaan Syaaban-Nya. Sungguh, selepas Rejab, Syaaban adalah bulan yang dilipat-gandakan nikmat beribadat di dalamnya. Bagi yang sudah memulakan amalan berpuasa sunat sejak bulan Rejab, kini mereka sudah memasuki  "bulan puasa" yang kedua sebelum bertemu dengan "bulan rukun Islam ke-3" iaitu "bulan puasa" bulan Ramadhan, insyaAllah.

     Siang tadi aku telah berjaya menemui tukang jahit yang sudi menjahit baju rayaku untuk tahun ini. Warna tema tahun ini? Biarlah rahsia, hehehe. Bila kuhitung-hitung hampir sepuluh kedai yang dikunjungi telah menutup ruang tempahan, nasib aku agak baik kerana berjumpa dengan tukang jahit yang baik hati. Itupun mungkin minggu terakhir Ramadhan baru persalinan aku siap. Redha dan syukur dengan apa yang dah ditakdirkan untukku. =) 

      Setiap kali tiba musim perayaan aku selalu membeli-belah di saat-saat akhir, fikirku beli last minute mesti dapat diskaun lebih kerana stok yang penghabisan tetapi sebenarnya mahal macam orang lain beli juga!! Dan setiap kali membeli-belah di musim perayaan mesti akan selalu kedengaran pengumuman sebegini: "perhatian kepada sesiapa yang kehilangan anak, sila datang ke kaunter penerangan sekarang." Kemudian boleh dilihat ibubapa berpusing mencari anak masing-masing, bilang kepala satu-persatu, jerit-menjerit nama anak yang bersembunyi di celah-celah almari pakaian (main sorok-sorok). Bila dah cukup anak-anak, ibubapa sambung shopping, anak-anak sambung bermain.


     Wahai ibu dan ayah, anak-anak adalah anugerah yang tidak ternilai. Hilang satu tiada gantinya kerana setiap mereka berbeza dan istimewa. Riang gelak-tawa dan rancak senda-gurau mereka biarlah di sisi sentiasa. 

     Lupakah pada kehilangan Nurin Jazlin? Mahukah ditimpa musibah ketiadaan anak yang ditatang bagai minyak yang penuh selama 9 bulan 10 hari dan tempoh membesarkannya bertahun-tahun akibat kelalaian sesaat? Jika tidak mahu maka pegang dan genggamlah tangan mereka sentiasa! Tunjukkan pada dunia bahawa anak-anak itu anda yang punya, dan biarlah di dalam hati mereka berkata kepada seluruh umat manusia: "hai, inilah ibu dan bapa saya".


     Ya, anak-anak ini comel dan manja. Tetapi comel dan manjakah mereka apabila disambut tangan yang bukan milik kita, ibubapa mereka? Fikirkanlah.....

Pemimpin pelajar pertama di UNISEL BeeJay

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk korang semua. Entri ini ditulis bagi memenuhi tuntutan "walk the talk", dengan izin.

"............... ada sesiapa nak volunteer?" tanya fasilitator di hadapan. Semua pelajar diam, ada yang toleh kiri-kanan, ada yang tunduk kepala merenung lantai dewan, ada yang senyum malu-malu, tapi akhirnya tetap takde seorang pun yang angkat tangan.

"aii.....takkan tak berani kot?" tambah fasilitator tu lagi. Aku duduk agak jauh di belakang, tengah buat kira-kira nak angkat tangan atau tidak. Niat hati tak ikhlas sangat  pun nak volunteer, sekadar menyahut cabaran je. 

Tiba-tiba ada seorang mamat yang duduk kat depan angkat tangan lalu bertepuk-soraklah semua pelajar baru di dalam dewan sambil mamat berkenaan melangkah naik ke pentas. Orangnya tak tinggi tak rendah, tak gemuk tak kurus, sedang molek bak kata orang Terengganu.

Dia memperkenalkan diri, "nama saya Soni Gonzales." Riuh satu dewan, terkejut dan hairan barangkali mendengar nama yang agak asing camtu. Aku pun terkejut, muka macam melayu tapi nama macam orang Mexico. Aku teringat dialog kartun yang selalu aku tengok kat tv, "yeeba yeeba, andre andre!"

Maka dengan pelantikan itu, secara rasminya mamat Soni Gonzales ini menjadi pemimpin atau penghulu kepada pelajar-pelajar pengambilan pertama di UNISEL kampus Bestari Jaya. Sejarah ni beb, sepatutnya dipaparkan di arkib atau perpustakaan UNISEL. Letak gambar dalam frame pastu siap ada biodata dan pencapaian lagi, memang terbaik!

Setelah bermula semester barulah aku tahu rupa-rupanya mamat ni memang 100% Melayu cuma namanya diilhamkan daripada satu peristiwa: Ayah dia pergi misi di luar negara, kemudian ada satu ketika pasukan ayahnya terperangkap atau dikepung oleh pihak musuh dan muncullah seorang penyelamat dari pasukan lain to the rescue. Jadi, bila mamat ni lahir dia dinamakan Soni Gonzales sempena gabungan nama misi dan penyelamat berkenaan. Kagum betul aku dengan fakta ini, dan aku harap ianya benar, kerana aku dah tulis mengenainya dalam blog aku ni.

Untuk menambahkan lagi kekaguman aku, rupa-rupanya dia pun ambil TESL juga, kebetulan. Maka pernahlah kami berborak-borak, bertukar-tukar idea dan berkongsi pengetahuan. Sejujurnya aku bukan type yang mudah mesra dengan orang yang baru dikenali tetapi si Soni Gonzales ni memang mesra alam dan bersikap terbuka. Dia cakap apa yang dia rasa orang patut dengar, bukan apa yang orang nak dengar, dan aku memang bertuah dapat kenal dia coz banyak dapat belajar ilmu-ilmu baru.

Nobody is perfect, begitu juga dengan mamat ni pada pandangan aku. Kadang-kadang dia agak kurang kemas bila berpakaian, jalan pula gedebe semacam je, tapi hati baik. Hehehe jangan marah ye =)

Soni Gonzales kini seorang guru di sebuah sekolah yang namanya dirahsiakan. Aku doakan kau jadi guru yang cemerlang, gemilang dan terbilang...amin!

Aku mengajar tuisyen, tapi pelajar aku tak mengembek.

"Orang Tua"

Sahabat-sahabatku bersalaman dengan Abah seorang demi seorang sebelum kami menyambung perjalanan menuju ke Kuala Lumpur malam itu, tertib dan sopan semuanya menghulur tangan sambil mengucapkan terima kasih atas layanan dan jamuan yang disediakan oleh tuan rumah. 

Sempat aku mengusik, "dah bayar ke?"

"Eh, bayar apa?" tanya mereka, terkejut.

"Laa.....bayaran 'ceramah' tadi!" sahut aku berseloroh sambil disambut ketawa semua yang ada. -tamat-


Abah memang suka 'berceramah' tak kira bila masa atau mana tempatnya. Abah membuat aku menjadi murid cemerlang dengan 'ceramah' pagi sebelum ke sekolah. Abah menjadikan aku pemandu kereta yang mahir dengan 'ceramah' sebelum, semasa dan selepas naik kenderaan. Abah menyedarkan aku tentang tanggungjawab seorang anak sulung dengan 'ceramah' lewat malam sewaktu dia pulang dan melihat aku masih belum tidur. Abah juga mengajar aku menjadi anak yang patuh dengan 'ceramah' kaki dan tangan beliau bila aku terlalu melampaui batas. Inilah "Orang Tua" yang aku kenal dan aku sayang sejak kecil hingga dewasa.

Dan pada 19 Mei 2010, sempena sambutan hari lahir Abah sedunia yang ke-53 aku telah menghadiahkan abah sesuatu yang dia tak suka: sambutan hari lahir! Abah nampak ceria walaupun ianya hanya disambut di rumah secara ringkas dan tiada hadiah diterima melainkan ciuman isteri dan anak-anak tercinta. 

SELAMAT HARI LAHIR, ABAH!!! =)


Bacaan doa diketuai oleh adik bongsu, Mohd Haziq bin Zahari. Semoga Abah diberkati ALLAH selalu, dikurniakan kesihatan dan keselamatan berpanjangan...amin! =)

"Semakin kita sayang seseorang, Semakin banyak yang kita berikan, Walau jasad dan nyawa jadi taruhan!"

makan gaji v.s cari gaji

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera buat sahabat-sahabat sekalian.

Pada waktu saya menulis coretan ini hati sedang dilanda kekeliruan yang boleh tahan hebatnya. Situasi yang biasa dihadapi oleh mana-mana graduan universiti yang telah menamatkan pengajiannya, situasi yang biasa dihadapi oleh graduan yang tidak puas hati dengan apa yang dia capai, situasi yang biasa dihadapi oleh graduan yang menanggung harapan besar ibubapa; samada untuk bekerja makan gaji atau bekerja sendiri.

Terus-terang saya tidak berminat untuk bekerja makan gaji samada swasta atau kerajaan. Saya jenis yang sukar duduk diam dan menerima arahan bulat-bulat macam mesin, lebih-lebih lagi jika saya rasakan arahan atau tugas itu tidak sesuai dilakukan atau menyalahi pendirian saya sendiri. Saya hanya menerima arahan yang terbaik dan paling tepat untuk sesuatu tugas disiapkan, arahan yang menjadikan tugas itu disiapkan sekadar cukup makan atau ambil syarat memang akan dibantah oleh saya. Pemberi arahan atau ketua pula mestilah orang yang layak dengan posisinya untuk menjadi pemimpin saya. Siapa yang suka menerima arahan atau tugas dari orang yang tidak bercirikan apa yang diucapkannya, betul tak?

Kerja sendiri atau menjadi usahawan lebih sesuai dengan jiwa saya. Saya merancang dan saya melaksanakan. Betul dan salah saya yang tentukan dan tanggung. Jiwa tenteram hati pun tenang. Namun risikonya memang agak menggentarkan jiwa. Saya tidak akan tahu bila saya akan menerima gaji, mungkin penuh atau separuh, atau mungkin tiada langsung! Kekuatan jiwa dan keteguhan kewangan diperlukan sebagai bekalan dalam perjalanan menentukan hidup sendiri sebegini kerana tersilap langkah memang besar padahnya. Hati siapa yang tidak gentar bila memikirkan kawan-kawan sepengajian sudah punyai kerjaya sendiri sedangkan kita pula bergelut mencari rezeki untuk melangsaikan pinjaman PTPTN, saman, ansuran kereta, dan lain-lain, betul tak?


Runsing...antara harapan keluarga dengan impian sendiri, yang mana patut didahulukan? Mohon diberi ilham dan petunjuk oleh-Nya...amin!

Selamat hari lahir, CINTA!

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, yang tiada sesuatu yang berlaku melainkan dengan izin-Nya jua, Allah maha besar.

Tanggal 2 Mei 2010, tertera di halaman akaun Facebook-ku ayat ini: Baru selesai membacakan doa dan menyertai upacara "cium ibu beramai-ramai". SELAMAT HARI LAHIR buat ibu tercinta; Rodziah bt Husain. I Love You!!!

Ibu; insan yang melahir, membesar dan mendidik kita semua. Tanpanya dunia tiada makna. Sinar mentari pun tidak terbanding dengan seri wajahnya tika tersenyum manis memandang kita. Indah rembulan pun tidak setara tenang renungannya tika menatap wajah kita. Sejuk sungai pun tidak sedingin kata-katanya tika menenangkan gundah hati kita.

Sempena ulang tahun kelahiranmu ini wahai ibuku, kudoakan keberkatan Allah sentiasa mengiringimu dan izinkan aku tujukan ucapan ini: SELAMAT HARI LAHIR, CINTA!

My Love: Rodziah bt Husain =)

This is the LOVE

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh and a very good morning to all my friends.

"Guys are like parking spaces, all the good ones are taken, and the rest are handicapped."

"Nowadays, finding a good girl is like finding a white crow."


A normal human should have a feeling; to love and being loved at the same time. It is like an instinct that tells us which way to go when we get lost. It comes out of nowhere, without a notice or warning alarm, and the last thing we know; we are in LOVE.

Suddenly she'll know, "this is my PARKING SPACE!"

The guy will notice, "hey, this is my WHITE CROW!"

And, if Romeo and Juliet are still alive, they'll know that their story is nothing compared to the journey of San and Jaa! Congratulation and wish both of you happiness ever after...amin! Now, let the pictures do the talking =)


P/S: Pray for my time to come ;-p

Rahsianya ialah.....


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat anda semua, semoga Allah merahmati kita hari ini dan selamanya. 

Sepanjang tempoh saya membesar dari buaian hingga ke sekolah menengah saya tidak pernah mempunyai seorang rakan yang bukan Melayu. Mungkin kerana saya bersekolah di sekolah kebangsaan atau faktor kurangnya kaum bukan Melayu yang menetap di daerah ini, wallahua'lam. Tetapi hasil dari hobi membaca yang mendedahkan saya kepada info-info kepelbagaian kaum di Malaysia saya selalu menyimpan hasrat untuk mempunyai rakan-rakan bukan Melayu. Saya tertanya-tanya apakah yang ada dalam 'dunia' mereka, apakah permainan zaman kanak-kanak mereka, bagaimana mengucapkan "selamat pagi" dalam bahasa mereka, dan macam-macam lagi. 

Akhirnya doa saya dimakbulkan! Saya mendapat ramai rakan-rakan Cina dan India ketika menyambung pelajaran ke peringkat STPM di SMK Sultan Ismail, Terengganu pada tahun 2003. Walaupun sekadar pertemuan singkat selama dua tahun namun ianya sungguh bermakna. Saya belajar mengenali budaya dan prinsip hidup mereka. Sesuatu yang tidak akan saya lupakan.

Prinsip hidup. 

Ramai orang terutamanya masyarakat Melayu mengatakan kaum Cina adalah kaum yang pandai. Sebutlah bidang apa sekalipun pasti kaum yang satu ini akan mengunggulinya. Seolah-olah mereka dilahirkan dengan seribu satu kelebihan yang tidak memungkinkan mereka kalah. Adakah ini punca kejayaan mereka?

Sejarah negara kita mencatatkan pada zaman sebelum merdeka kaum Cina dibawa masuk untuk dijadikan pekerja-pekerja di lombong bijih timah manakala kaum India pula dibawa masuk untuk dijadikan penoreh getah. Mereka datang sehelai sepinggang. Namun kini lihatlah pencapaian mereka, hampir keseluruhan carta jutawan terkaya di Malaysia diduduki oleh mereka, apakah rahsianya segerombolan orang yang dahulunya datang sehelai sepinggang kini berjaya dan kaya-raya?

Rahsianya ialah USAHA YANG BERTERUSAN atau ISTIQAMAH!

Tiada tercatat dalam mana-mana buku sejarah bahawa kaum Cina merupakan kaum yang sentiasa berjaya, tiada tercatat dalam mana-mana manuskrip lama bahawa kaum Cina merupakan kaum yang kaya-raya, tetapi tercatat di dalam ingatan setiap manusia yang mengenali kaum Cina bahawa mereka rajin berusaha. 

Saya membaca buku China Safari hasil tulisan Serge Michel dan Michel Beuret, dan saya mencemburui kisah yang diriwayatkan di dalamnya. Kisah bagaimana orang-orang Cina dari negara China cuba menembusi tembok ekonomi yang dimiliki oleh negara-negara Afrika dan mewujudkan tapak mereka sendiri di sana. Bayangkan di sebuah negara yang kering-kontang dan tandus mereka masih mahu bertapak dan menjalankan perniagaan, dengan berbekalkan kudrat dan kemahiran yang tidak seberapa mereka berhijrah membawa isteri dan anak-anak untuk tinggal dan memulakan hidup baru.

Mereka tidak berjaya untuk hidup mewah tetapi sekurang-kurangnya mereka serba cukup jika dibandingkan dengan sebahagian besar rakyat negara itu yang melarat dan mati kebuluran di negara sendiri. Mereka menjalankan perniagaan-perniagaan kecil tetapi semakin berkembang dan berkembang sehingga membolehkan mereka mewujudkan komuniti Cina di situ yang lengkap dengan kemudahan tempat beribadat, sekolah Cina dan pusat perubatan. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit!


Kini saya sedang cuba menghadamkan kandungan buku tulisan Saudara Ann Wan Seng (MACMA) yang bertajuk Rahsia Bisnes Orang Cina. Beliau merupakan seorang Cina Muslim yang telah menulis tentang petua perniagaan orang Cina sejak tahun 1996 lagi, juga merupakan seorang kolumnis untuk majalah Dewan Ekonomi. Hasil tangan beliau ini telah diulang cetak sebanyak 12 kali dalam masa 5 tahun!

Memetik sebahagian tulisan beliau: "Apabila ketekunan dirangkumkan bersama-sama dengan keazaman dan diperkuatkan lagi dengan kesabaran nescaya ia akan menjadi aset yang cukup berharga bagi sesiapa yang mahu melibatkan dirinya dalam perniagaan. Kesabaran itu memang pahit tetapi buahnya amat manis sekali."

Dan itulah yang dibuktikan oleh Mohd. Fadly (29 tahun) yang memiliki Fadlieshop Production!

Petikan laporan di Utusan Malaysia:

Syarikat yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu oleh pemegang Diploma Teknologi Pembuatan Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) itu bermula dengan modal kira-kira RM50,000.

''Ia hasil wang yang dikumpul selama tiga tahun sewaktu bersendirian secara sambilan mendapatkan tempahan-tempahan. Sukar untuk mendapatkan pinjaman kerana banyak prosedur dan panjangnya waktu menunggu." (sini)

Sekali lagi, dengan izin, SIKIT-SIKIT LAMA-LAMA JADI BUKIT!

New leaf, new look, but the same me!

Zafifi and his wife-to-be =)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh to all readers. 

Firstly, i would like to congratulate my new friend; Zafifi and his future-wife for their engangement last month. Zafifi is a very nice and helpful friend i met on my first day starting my business. Fie, i am not there, sorry, but i'll pray for both of you happiness ever after! =)

Secondly, this is my new personal blog! Actually not very new because it used to be "PandaiPandai" and i change it to "MoHaRZ" because it sounds more personal and classy. The layout also have been changed to give a fresh look, hoping for more friends and enemies to drop by...hahaha =D

Finally, i turned over a new leaf. For those who don't understand what it means, i am turning myself into a better man. Life is becoming more challenging and i don't want to be left stranded as i have many responsibilities to carry on my shoulders, i must be stronger. And this is the start, hope all of you can give support and pray for me...insyaAllah =)

See you next time, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.